KOTA BHARU: Kedudukan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memenangi kerusi menggunakan tiket Perikatan Nasional (PN) akan terkesan sekiranya pembatalan pendaftaran gabungan parti itu kekal selepas rayuan dibuat.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata dari sudut undang-undang, wakil rakyat berkenaan tidak lagi boleh menggunakan nama PN sekiranya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menolak rayuan yang akan dikemukakan gabungan itu.

"Kalau Menteri KDN (Saifuddin) tolak rayuan, daripada segi undang-undangnya pada pandangan saya, kita bukan lagi atas nama PN. Sama ada Ahli Parlimen ataupun ADUN yang bertanding menggunakan logo PN.

"Keadaan ini berbeza di Kelantan dan Terengganu kerana calon PN bertanding menggunakan atas tiket PAS," katanya selepas Ceramah Jelajah Himpunan & Munajat Panyatuan Ummah Parlimen Kubang Kerian, di sini, malam tadi.