KLANG: Pakatan Harapan (PH) tidak menaruh harapan tinggi untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk Barisan Nasional (BN) dan bersedia bergerak solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagaimanapun pihaknya masih terbuka untuk berunding walaupun Pas mendakwa sudah mencapai 90 peratus persetujuan dalam rundingan pembahagian kerusi.
“Semalam katanya baru 90 peratus, ada lagi 10 peratus. 10 peratus itu macam-macam boleh jadi. Saya tak mahu campur urusan mereka. Biar mereka buat keputusan itu.
“Kita terbuka kalau ada ruang perbincangan, kita berbincang. Kalau tidak, kita juga bersedia untuk bertanding mengikut kapasiti dan fahaman yang ada,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Tuaian Anak Harapan Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) (Tuah), di sini, hari ini.










