KUALA LUMPUR: Kumpulan muda tidak boleh dijadikan alat kepada golongan tertentu sehingga hilang kebebasan untuk berfikir, bersuara dan mengemuka pandangan secara kritis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata anak muda sebaliknya perlu memainkan peranan sebagai pemimpin masa kini dan perlu berani bersuara serta mengkritik berasaskan ilmu mahupun hujah.

"Saya tidak ada masalah kalau anak-anak boleh buat usul dan resolusi, berhujah. Kalau ada usul (kepada Perdana Menteri) patut buat begini, saya tidak ada masalah.

"Kerana saya tidak fikir saya ini sebagai Perdana Menteri mempunyai pengetahuan yang sempurna dan boleh lakukan semua. Tidak, saya mahu mendengar," katanya ketika berucap merasmikan Forum Ekonomi Belia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.