KUALA LUMPUR: Di sebalik kejayaan menghadiahkan satu pingat emas dan gangsa buat Malaysia pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya, jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou sebenarnya turun beraksi dalam keadaan dibelenggu kecederaan hamstring.

Lebih mencabar, kecederaan itu dialami kira-kira seminggu sebelum juara Paralimpik dua kali berkenaan berlepas ke Jepun, namun ia tidak menghalangnya daripada meneruskan perjuangan demi mengharumkan nama negara.

Liek Hou, 38, akhirnya terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa acara perseorangan lelaki SU5 selepas menarik diri pada separuh akhir menentang wakil China, Li Ming Pan, awal pagi semalam.

Liek Hou yang tewas set pertama 13-21 bangkit memenangi set kedua 21-11 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, namun kecederaan hamstring memaksanya bersara ketika ketinggalan 7-11 di Ichinomiya Municipal Gymnasium, Aichi.