Dua minggu berlalu, namun kemeriahan majlis perkahwinan pasangan popular, Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atau BASS, terus menarik perhatian ramai.

Hingga kini, di media sosial masih lagi hangat membicarakannya, termasuk apa sahaja perkongsian hantaran dibuat pasangan ini pasti menuai komen pujian, doa yang baik agar perkahwinan dibina kekal bahagia.

Berkesempatan hadir meraikan majlis resepsi penuh meriah BASS di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) baru-baru ini, aura dibawa pasangan sejoli itu sangat positif.

Tampil menggayakan busana tradisional Melayu berona merah dan diikuti suit berwarna hitam serta gaun putih labuh, pengantin baharu ini memilih muncul sedondon bersama dua anak mereka.