PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) berada di landasan terbaik untuk mempertahankan dominasi Piala FA ketika kelebihan tipis Selangor FC belum cukup menjamin kemaraan ke final.
Berbekalkan kemenangan 2-0 ke atas DPMM FC pada aksi pertama separuh akhir meletakkan JDT lebih meyakinkan menjelang pertemuan timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 8 November ini.
Sebagai juara bertahan, Harimau Selatan bukan sahaja memiliki kelebihan dua gol, malah bakal beraksi di laman sendiri, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap DPMM yang perlu mencari jalan untuk merapatkan jurang berkenaan.
Sebaliknya, Selangor berdepan tugas lebih mencabar selepas hanya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kuching City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin.









