BATU PAHAT: Jenazah Irene Sofiya Mohd Khairoolm Faisal, 16, yang meninggal dunia disyaki akibat dibunuh selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Parit Arshad, sebentar tadi.

Terdahulu, jenazah Allahyarhamah tiba di rumah neneknya di Kampung Parit Selamat, Yong Peng, jam 6.30 petang selepas selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.

Jenazah Irene Sofiya atau lebih mesra Fiya kemudiannya disolatkan di rumah neneknya dan Masjid Kampung Parit Arshad yang dihadiri lebih 100 jemaah terdiri sanak saudara, kenalan dan penduduk kampung.

Suasana bertukar pilu apabila ada ahli keluarga arwah tidak dapat menahan sebak sebaik jenazah dibawa masuk ke dalam rumah nenek sebagai perjalanan terakhir sebelum dikebumikan.