KUALA LUMPUR: Keunggulan pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari, terus terserlah apabila merangkul gelaran Terbuka Silicon Valley selepas menewaskan wakil Mesir, Farida Mohamed pada aksi final di Redwood City, Amerika Syarikat, semalam.

Pemain pilihan ketiga yang juga pemain nombor empat dunia itu hanya memerlukan 31 minit untuk menundukkan Farida, pemain ranking ke-20 dunia, 11-7, 11-6, 11-8.

Kejayaan itu menyaksikan Sivasangari merekodkan kemenangan ketiga ke atas Farida dalam lima pertemuan, sekali gus menambah satu lagi kejuaraan dalam karier profesionalnya.

Pemain berusia 27 tahun itu kini mengumpul 18 gelaran Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) daripada 28 penampilan final sejak bergelar pemain profesional.