KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengekalkan keputusan mengetepikan saman kecuaian dan fitnah RM400,000 difailkan seorang bekas pelajar terhadap guru dan kerajaan mengenai pemeriksaan badan serta rampasan telefon bimbit ketika peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) enam tahun lalu.

Hakim Yusrin Faidz Yusoff menolak rayuan Nur Nabilah Ahmad Zambala dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak saman terhadap dua guru, pengetua sekolah dan kerajaan pada 16 Disember lalu.

Dalam keputusannya, Yusrin turut memutuskan pihak sekolah tidak mempunyai kuasa untuk memeriksa kandungan telefon bimbitnya walaupun boleh merampas dan menyimpan gajet berkenaan.

Beliau berkata, pekeliling Kementerian Pendidikan (KPM) mahupun peraturan peperiksaan sekolah tidak secara jelas membenarkan guru memeriksa kandungan telefon bimbit dirampas.