Melbourne: Fiji hampir mencipta kejutan terbesar Piala Dunia Liga Ragbi apabila memberi tentangan sengit kepada juara bertahan, Australia, sebelum tewas 22-36 dalam aksi Kumpulan di Lang Park, Brisbane, semalam.
Beraksi di hadapan kira-kira 41,000 penonton, Fiji membuktikan mereka mampu mencabar kuasa besar apabila mendahului 16-12 pada awal babak kedua, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kem Kangaroos.
Bagaimanapun, kebangkitan Australia yang diketuai kapten James Tedesco menyaksikan mereka kembali menguasai permainan sebelum Tom Trbojevic melengkapkan hatrik untuk memastikan kemenangan 36-22 dan tiket ke separuh akhir.
Fiji turut mempamerkan aksi bertenaga menerusi Semi Valemei yang mencatat hatrik, manakala Kurt Donoghoe dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan selepas berulang kali memecahkan benteng pertahanan Australia.








