KUALA LUMPUR: Pemimpin gabungan empat negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) atau State Government 4 (SG4) bersedia memikul tanggungjawab menerajui kerajaan Persekutuan sekiranya diberikan mandat selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemimpin yang diberikan tanggungjawab itu perlu bersikap terbuka dan bersedia menghadapi sebarang cabaran dalam usaha membentuk kerajaan selepas pilihan raya.
“Jika tiba masanya dan tanggungjawab itu diberikan kepada anda, maka anda perlu memikulnya,” katanya pada sidang akhbar selepas Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Ahmad Samsuri berkata, soal individu yang bakal dipilih untuk memimpin kerajaan Persekutuan hanya akan dibincangkan apabila tiba masanya.








