KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain pada Selasa berikutan asas ekonomi Malaysia yang berdaya tahan terus menyokong unit tempatan itu dalam keadaan risiko geopolitik yang masih berterusan di Asia Barat, kata penganalisis.
Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.0840/0905 berbanding dolar AS daripada 4.0855/0895 semasa ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata perkembangan geopolitik di Asia Barat terus menjadi tumpuan berikutan pegawai dari Arab Saudi, Pakistan dan Turkiye telah melawat Iran pada Isnin untuk mengadakan rundingan diplomatik.
"Perkembangan ini berlaku ketika anggota Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat memulakan mesyuarat dua hari mereka hari ini," katanya kepada Bernama.









