Austin: Ketua pasukan Ferrari, Fred Vasseur mengakui kegagalan memanfaatkan potensi sebenar jentera ketika sesi kelayakan menjadi punca pasukannya terlepas peluang memburu kemenangan pada Grand Prix (GP) Amerika Syarikat.

Ferrari dilihat sebagai pasukan pilihan selepas menguasai ketiga-tiga sesi latihan bebas di Austin, namun gagal mengekalkan momentum apabila Charles Leclerc dan Lewis Hamilton masing-masing hanya mampu bermula di petak keempat dan kelima.

Leclerc bagaimanapun mempamerkan kelajuan perlumbaan yang meyakinkan untuk menamatkan saingan di tempat kedua di belakang pelumba Mercedes, Andrea Kimi Antonelli, manakala Hamilton terlepas peluang menaiki podium selepas ketinggalan hanya satu saat di belakang Max Verstappen dari Red Bull.