Kuching: Remaja lelaki berusia 14 tahun dipercayai disambar buaya ketika menjalankan kerja memunggah buah sawit ke dalam perahu di Sungai Plaie, Ulu Sebuyau, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang, mangsa, Mohd Nordin Mohd Othman, dari Kampung Plaie Ulu Sebuyau, dikatakan disambar reptilia berkenaan ketika berada di sungai terbabit.

Kejadian itu disaksikan bapa saudara mangsa, Midin Radin, sebelum maklumat berhubung insiden berkenaan disampaikan kepada Ketua Kampung Sungai Plaie.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, berdasarkan maklumat diterima, mangsa masih belum ditemukan sehingga operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pagi ini.