Buenos Aires: Lionel Messi akan menutup tirai karier gemilangnya bersama Argentina esok apabila turun dalam perlawanan persahabatan menentang Benin, sekali gus menandakan permulaan era baharu buat juara Amerika Selatan itu.

Selepas lebih dua dekad berbakti kepada negaranya, pemain berusia 39 tahun itu akan menyerahkan lilitan kapten ketika membuat penampilan terakhir bersama jersi Albiceleste di Stadium Monumental di Buenos Aires.

Messi akan diiringi 85,000 penonton serta beberapa rakan sepasukan yang membantunya mencapai kemuncak bola sepak apabila menjulang Piala Dunia 2022 di Qatar, selain barisan pemain daripada generasi baharu Argentina.

Perlawanan persahabatan itu menjadi simbol peralihan buat pemain yang legasi antarabangsanya merangkumi gelaran Piala Dunia, dua kejuaraan Copa America dan Finalissima.