SHAH ALAM – Batik Air memperluaskan peranannya dalam mempromosikan pelancongan domestik menerusi penganjuran sulung Batik Air Exploride 2027 yang bakal berlangsung di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 24 Januari tahun hadapan.Program yang menggabungkan aktiviti berbasikal dan pelancongan itu bukan sahaja bertujuan memperkenalkan keunikan destinasi tempatan, malah menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.Juruterbang Batik Air, Reza Abidin, 46, berkata, penganjuran program berkenaan memberi peluang kepada peserta meneroka pelbagai tarikan pelancongan di Negeri Sembilan, termasuk pantai, perkampungan tradisional, sawah padi serta seni bina berasaskan warisan Minangkabau.Menurutnya, konsep riadah santai yang diterapkan dalam program itu membolehkan peserta menikmati pengalaman berbasikal sambil mengenali keistimewaan destinasi pilihan."Program ini merupakan kali pertama dianjurkan oleh Batik Air dan konsepnya adalah riadah, santai dan melancong."Melalui acara ini, kita bukan sahaja dapat melakukan aktiviti berbasikal, malah mempromosikan Negeri Sembilan supaya lebih ramai orang mengenali tarikan yang ada di negeri ini."Bagaimanapun, ia bukan bermaksud negeri lain tidak mempunyai tarikan yang lengkap, tetapi kali ini kita memberikan tumpuan khusus kepada Negeri Sembilan," katanya kepada Sinar Harian.Batik Air Exploride 2027 menawarkan tiga kategori kayuhan iaitu 31 kilometer (km), 63km dan 105km yang boleh dipilih berdasarkan kemampuan serta pengalaman peserta.Program yang dianjakkan ke tahun 2027 itu turut menawarkan pelbagai aktiviti sampingan, antaranya pemeriksaan kesihatan percuma, cabutan bertuah, zumba serta jualan makanan dan minuman daripada Batik Air pada harga tidak melebihi RM10.Penganjuran berkenaan turut mendapat sokongan rakan strategik termasuk RHB Bank, AEON Malaysia, Pos Aviation dan Great Eastern Malaysia.Sementara itu, Penolong Ketua Latihan Batik Air, Mohamad Mubin Mohamad berkata, program berkenaan turut menyokong saranan kerajaan untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.Menurutnya, individu yang bekerja menggunakan komputer lazimnya menghabiskan masa yang panjang dalam keadaan duduk sehingga berpotensi mengurangkan peluang untuk melakukan aktiviti fizikal."Kami sendiri sebagai juruterbang banyak menghabiskan masa dengan duduk. Jadi waktu untuk melakukan aktiviti riadah mungkin tidak mencukupi atau langsung tiada."Dengan adanya acara seperti ini, ia dapat mengajak semua kakitangan syarikat dan masyarakat untuk beriadah sambil melancong selain memupuk semangat kesukanan dan menjaga kesihatan," ujarnya.Bagi Kapten B737, Haziq Daud, 37, Batik Air Exploride 2027 bukan berorientasikan perlumbaan, sebaliknya memberi ruang kepada peserta menikmati pengalaman berbasikal sambil meneroka destinasi pelancongan bersama komuniti berbasikal.Beliau berkata, penyertaan terbuka kepada individu berusia 16 tahun ke atas dengan pilihan jarak kayuhan yang membolehkan peserta memilih laluan bersesuai