KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing kekal bertenaga apabila menepati ramalan mara ke pusingan kedua Terbuka Hylo di Jerman, sebentar tadi.

Masih segar dengan kejayaan muncul naib juara Terbuka Perancis, Ahad lalu, Pang Ron-Pei Jing yang menduduki ranking ke-24 dunia mempamerkan dominasi penuh ketika menewaskan gandingan Belanda di ranking ke-182 dunia, Joep Strooper-Sterre Bang, 21-13, 21-13.

Pasangan negara itu hanya memerlukan 25 minit untuk melakar kemenangan pada aksi pusingan pertama di Saarlandhalle, meskipun menerima tentangan sengit daripada lawan pada awal set kedua sebelum mengesahkan tiket ke kelompok 16 terbaik.

Terbuka Hylo menjadi kejohanan keempat berturut-turut buat Pang Ron-Pei Jing selepas Terbuka Artik, Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis.