KOTA BHARU: Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Seksyen 1B dari Kampung Sungai Peria ke Kampung Laloh, dekat sini sepanjang 14.75 kilometer mengalami kelewatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Dr. Izani Husin berkata, projek berkenaan ketika ini mencatatkan kemajuan fizikal sebenar 15.37 peratus, berbanding 16.81 peratus mengikut jadual.

“Pembinaan projek yang bermula pada 24 Februari 2025 itu kini mempunyai tarikh siap semasa pada 24 Disember 2028, berbanding sasaran asal Februari 2028.

“Perkembangan itu berdasarkan pelaporan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Khas (JPPK) bagi Projek LTU dan Projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) Negeri Kelantan (Task Force) Bilangan 4 Tahun 2026 pada 20 September lalu,” katanya semasa menjawab soalan dikemukakan Mohd Fauzi Abdullah (Pas-Manek Urai) pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini hari ini.