KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada Isnin, menjejaki kenaikan Wall Street berikutan pertumbuhan gaji Amerika Syarikat (AS) yang lebih perlahan, meredakan jangkaan kenaikan kadar faedah serta-merta oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.01 mata atau 0.31 peratus kepada 1,635.88 berbanding paras 1,630.87 ketika ditutup pada Jumaat.
Indeks utama itu dibuka 2.55 mata lebih tinggi kepada 1,633.42.
Sentimen pasaran secara keseluruhan positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 224 berbanding 158, sebanyak 337 kaunter tidak berubah, 2,054 tidak diniagakan dan 24 digantung dagangan.
Jumlah dagangan berjumlah 206.30 juta saham bernilai RM98.78 juta.








