PUTRAJAYA: Kerajaan sedang meneliti kesesuaian untuk menetapkan satu dasar umum bagi penyahklasifikasian dokumen sejarah yang ketika ini dikategorikan sebagai rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan sejarawan berhubung perkara tersebut dalam Mesyuarat Majlis Sejarawan Negara Bilangan Kedua Tahun 2026 yang telah diadakan minggu ini.
“Perkara ini akan diteliti termasuk oleh Peguam Negara untuk melihat implikasi dan juga kemudahan akses kepada dokumen-dokumen sejarah. Perdana Menteri menyampaikan pandangan bahawa hal ini perlu dilaksanakan dengan segera tetapi dengan teliti,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.









