Rumah cantik dengan cat dinding baharu, kabinet moden dan perabot menarik sememangnya menjadi impian ramai, namun tanpa disedari mungkin tersembunyi bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan penghuni.
Lebih membimbangkan, bahan kimia tertentu daripada cat, gam, perabot dan bahan kemasan dalaman rumah boleh terus dibebaskan ke udara walaupun kerja pengubahsuaian selesai menyebabkan penghuni terdedah kepada pencemaran udara tanpa menyedarinya.
Profesor di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Juliana Jalaludin berkata, pemilihan bahan dekorasi rumah tidak seharusnya hanya tertumpu kepada aspek kecantikan dan kos sebaliknya keselamatan serta kesan terhadap kesihatan juga perlu diberikan perhatian.






