LABUAN – Penghantaran pesawat pejuang ringan FA-50M pertama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Korea Selatan bakal memperkukuh keupayaan pertahanan ruang udara negara ini khususnya dalam menghadapi keperluan pemodenan aset ketenteraan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perolehan 18 pesawat FA-50M daripada Korea Aerospace Industries (KAI) disifatkan amat penting bagi meningkatkan keupayaan operasi TUDM terutamanya apabila pesawat Hawk akan ditamatkan perkhidmatan pada tahun 2028.

Katanya, perolehan bernilai hampir RM4 bilion yang dimeterai pada 2023 itu membabitkan pesawat yang berperanan sebagai pesawat latihan pejuang lanjutan selain me­laksanakan operasi tempur ringan.