KUALA LUMPUR: Belum pulih sepenuhnya daripada masalah kesihatan sebelum ini, pelakon veteran, Maimunah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mak Jah, 78, sekali lagi diuji apabila disahkan mengalami komplikasi pelbagai penyakit termasuk kegagalan buah pinggang tahap empat, masalah jantung dan paru-paru berair.
Mak Jah kini masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak lebih seminggu lalu selepas mengalami masalah pernafasan berpanjangan sebelum pemeriksaan lanjut mendapati beberapa komplikasi kesihatan lain turut dihadapinya.
Mak Jah berkata, dia sendiri tidak menyedari keadaan buah pinggangnya sudah merosot ke tahap empat, memandangkan pemeriksaan terdahulu hanya menunjukkan penyakit itu berada pada tahap dua.









