JOHOR BAHRU: Kerajaan sedang memperhalusi cadangan untuk melancarkan pelan induk dan pelan tindakan Zon Ekonomi Khas Johor Singapura (JS-SEZ) di Ipoh, Perak pada 4 Disember depan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, kemungkinan itu susulan penganjuran Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura di negeri berkenaan, tidak lama lagi.

“Pelancaran pelan induk dan pelan tindakan JS-SEZ itu akan disempurnakan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong.

“Perkara itu sedang diperhalusi ketika ini, kita akan muktamadkan dari segi lokasi kerana dari segi ‘Annual Leaders’ Retreat’ tahun ini dijangka akan diadakan di Ipoh. Jadi sama ada pelancaran itu akan diadakan di sana atau tidak, tetapi yang dipersetujui majlis itu akan disaksikan oleh kedua-dua Perdana Menteri,” katanya.