KUALA LUMPUR: Perdebatan mengenai pemilihan calon Top 5 Festival Filem Malaysia (FFM) ke-35 yang didakwa mengetepikan beberapa nama pelakon pilihan peminat dan penggiat industri tidak seharusnya menjadikan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebagai sasaran kritikan.
Pengerusinya, Datuk Hans Isaac, menegaskan FINAS tidak mempunyai campur tangan dalam urusan penjurian, sebaliknya hanya bertindak sebagai pemudah cara dalam proses pemilihan juri.
Hans berkata, keputusan pencalonan sepenuhnya terletak pada pertimbangan juri yang dilantik dan pihaknya sendiri tidak mengetahui identiti individu yang bertanggungjawab membuat penilaian berkenaan.
Katanya, pemilihan juri dilakukan menerusi proses undian daripada beberapa calon, bukannya berdasarkan senarai nama yang ditentukan secara individu.










