MENJADI antara hidangan kegemaran rakyat Malaysia, nasi lemak bukan sahaja enak dinikmati sebagai menu sarapan pagi tetapi turut sesuai dimakan pada bila-bila masa tidak mengira sama ada sebagai hidangan tengah hari, makan malam mahupun sajian ringkas.

Begitu juga dengan peminat kedai makan Nasi Lemak Kedondong yang menjadikan menu itu sebagai kegemaran.

Walaupun operasi ketika ini tertumpu kepada waktu pagi, kedai berkenaan turut menerima pelanggan sehingga waktu tengah hari khususnya keluarga yang membeli makanan untuk anak-anak selepas tamat sesi persekolahan.

Menurut pemiliknya, Mohamad Haziq Zulkifly, Nasi Lemak Kedondong menawarkan kira-kira 12 pilihan lauk untuk nasi lemak termasuk sambal sardin, sambal udang, dendeng balado, sambal kerang, sambal sotong, sambal paru, sambal tempe, ayam goreng, ayam masak merah, ayam rendang, rendang daging dan sayur kampung.