BUKIT JALIL: Pelakon, Nadhir Nasar, menganggap kritikan terhadap mutu lakonannya sebagai lumrah dalam dunia seni yang perlu diterima dengan hati terbuka.

Mengulas tanggapan segelintir penonton yang berpendapat dirinya lebih sesuai membawakan watak aksi berbanding romantik, Nadhir mengakui bukan mudah untuk memenuhi cita rasa semua pihak.

Menurutnya, setiap maklum balas, khususnya kritikan membina, merupakan ruang untuk dirinya memperbaiki mutu lakonan dan penghayatan terhadap watak yang dibawakan.

“Bagi saya, sebagai pelakon, kita bekerja untuk khalayak ramai. Saya suka menerima komen yang membina. Ibarat kita menjual nasi lemak, ada orang kata tidak sedap, ada pula yang kata sedap. Itu perkara biasa.