KUALA LUMPUR – Kena dengan selera, bintang popular Korea Selatan, Lee Jun-ho mengakui terpikat dengan kepelbagaian sajian tempatan sepanjang berada di Malaysia, terutama nasi lemak dan roti tisu.

Ujar Junho, 36, dia teruja menikmati hidangan berkenaan, malah keunikan roti tisu dengan bentuknya menjulang tinggi memberikan pengalaman tersendiri buat pelakon dan penyanyi itu.

“Semalam, saya berpeluang mencuba nasi lemak dan roti tisu. Kedua-duanya sangat sedap. Saya tidak tahu mengapa roti tisu dinamakan sedemikian, tetapi perkara paling menarik perhatian saya ialah saiznya begitu besar dengan bentuk menjulang tinggi.

“Saya seronok mengoyakkan roti itu sedikit demi sedikit, bermula dari bahagian atas untuk menikmatinya. Pengalaman itu agak menarik kerana saya dapat mencubanya bersama pelbagai jenis sos dan perasa,” katanya kepada Kosmo! Online.