Kota Bharu: Jabatan Peguam Negara (AGC) merayu keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun enam bulan ke atas pegawai kanan polis yang didakwa menyebabkan kematian pelajar Tingkatan Lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie.
Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan minggu lalu kerana pendakwaan mahu meneliti keseluruhan aspek berhubung kes berkenaan.
Menurutnya, pendakwaan akan menghujahkan melalui rayuan itu, sama ada kes perlu dikembalikan kepada pertuduhan asal, iaitu membunuh atau apa-apa perkara yang sesuai dengan keadaan kes serta keputusannya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI Jabatan Peguam Negara di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Hor, di sini, hari ini.









