SHAH ALAM: Polis mengesahkan sekumpulan penghuni telah melarikan diri dari sebuah pusat pemulihan dadah dan alkohol di Bukit Kuda, Klang dekat sini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol, berkata pihaknya menerima laporan pada 28 Oktober lalu berhubung kejadian itu daripada pemilik pusat berkenaan.

Berdasarkan laporan itu, katanya, premis berkenaan dikatakan didatangi sekumpulan lelaki dan perempuan yang kemudian membawa beberapa penghuni keluar tanpa kebenaran pihak pengurusan pusat terbabit.

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah penghuni terbabit masih dalam siasatan, dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan polis dari semasa ke semasa.