KUALA LUMPUR: Dalam dunia kajian sastera, teori yang diasaskan oleh sarjana Barat sering mendapat tempat yang lebih luas berbanding teori tempatan. Pemikiran tokoh seperti Karl Marx, Sigmund Freud, Jacques Derrida dan Michel Foucault terus dibincangkan, dikritik dan dikembangkan oleh sarjana di seluruh dunia.

Teori yang dihasilkan tidak terhenti pada pemikiran pengasasnya, sebaliknya terus berkembang melalui perdebatan akademik, penelitian dan tafsiran baharu. Setiap generasi pengkaji tampil menguji, memperhalus dan mengembangkan gagasan terdahulu.

Sebaliknya, teori sastera tempatan berhadapan dengan persoalan yang lebih mendasar, sejauh manakah gagasan yang dibina oleh sarjana tempatan diteruskan oleh generasi selepas mereka?