KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan membaik pulih 1,034 rumah golongan miskin dan kurang berkemampuan bagi tempoh 2024 hingga tahun lalu menerusi Program Bantuan Rumah Dhuafa membabitkan kos keseluruhan lebih RM10.8 juta.
Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berkata pada 2024 sebanyak 473 rumah dibaik pulih dengan kos perbelanjaan RM5.04 juta, manakala pada tahun lalu, jumlah bantuan meningkat kepada 561 rumah membabitkan kos RM5.8 juta.
Beliau berkata, bantuan berkenaan merangkumi kerja baik pulih kediaman serta sumbangan bahan binaan itu diselaraskan mengikut keperluan serta tahap kerosakan rumah penerima.
"Proses pemilihan penerima pula dijalankan secara telus menerusi permohonan, siasatan dan pengesahan oleh Pejabat Tanah dan Jajahan tertakluk kepada syarat kelayakan serta kedudukan peruntukan semasa," katanya.








