TAWAU: Guru mengaji dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan melakukan kesalahan seksual terhadap tiga kanak-kanak perempuan berusia antara tujuh hingga lapan tahun.
Tertuduh yang juga pemegang pasport warga Indonesia berusia 55 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Daripada enam pertuduhan berkenaan, empat membabitkan kesalahan amang seksual fizikal mengikut Seksyen 14(a), satu pertuduhan mengikut Seksyen 14(b) dan satu lagi mengikut Seksyen 15(c) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, semuanya dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Bagi dua pertuduhan pertama, tertuduh masing-masing dikenakan hukuman penjara enam tahun serta tambahan satu tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 16(1), dengan kedua-dua hukuman penjara itu diperintah berjalan serentak, menjadikan tempohnya tujuh tahun dan dua sebatan.








