SABAK BERNAM – Hanya dengan bayaran sehingga RM1,800 seorang, migran warga Indonesia dipercayai boleh keluar masuk Malaysia menerusi laluan haram yang dikawal sindiket penyeludupan.
Lebih licik, sindiket turut menawarkan khidmat transporter dengan bayaran bermula RM500 bagi membawa migran ke lokasi tertentu di sekitar Lembah Klang.
Kegiatan itu terbongkar menerusi Op Pintas dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di tiga lokasi berasingan sekitar daerah ini bermula 1 November hingga awal pagi semalam.
JSJ Polis Diraja Malaysia dalam kenyataannya memaklumkan hasil serbuan menahan seramai 36 individu terdiri 25 migran warga Indonesia, termasuk dua kanak-kanak selain 12 individu yang dipercayai terlibat sebagai transporter.









