BERA: Selain aktiviti berkayak yang diperkenal sejak Februari lalu bagi mengembalikan Tasik Bera di sini, dalam radar pelancongan negara, kerajaan negeri diminta campur tangan bagi menghidupkan semula operasi resort yang terbiar lebih 10 tahun di tasik berkenaan.

Setiausaha Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Daerah Bera, Khairul Amin Mohd. Tahir berkata, aktiviti berkayak diteruskan setiap Sabtu dan Ahad tanpa terjejas dengan isu pencerobohan di Tasik Bera kerana lokasinya jauh daripada kawasan terbabit.

Katanya, program itu bertujuan memperkenal semula keindahan Tasik Bera kepada orang ramai sekali gus membuka peluang ekonomi menerusi aktiviti pelancongan berasaskan alam semula jadi.

“Program ini masih berjalan seperti biasa setiap hujung ming­gu. Isu pencerobohan itu tidak menjejaskan aktiviti berkayak kerana lokasinya jauh di kawasan berbeza. Kita mahu orang ramai terus datang menikmati keindahan Tasik Bera sekali gus membantu menghidupkan semula sektor pelancongan di kawasan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.