SUNGAI BULOH: Pasukan Fast Respond Team Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh akan terus mempergiat penyelarasan bantuan bagi memastikan keperluan asas mangsa banjir kilat yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) serta penduduk terjejas di kawasan itu terus terbela.
Setiausaha Politik kepada Menteri Sumber Manusia, Aizuddin Abdul Gaffal, berkata usaha itu dilaksanakan susulan kejadian banjir kilat yang menyebabkan hampir 300 penduduk terpaksa berlindung di dua PPS di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, setakat ini, kira-kira 150 mangsa ditempatkan di PPS Dewan MBSA Seri Pagi, Kampung Paya Jaras U19, manakala lebih 140 lagi berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Sempak.









