IPOH: Sebanyak 177 prasekolah terpilih di seluruh Perak bakal menerima susu kotak secara percuma menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Perak Fresh hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan Farm Fresh Bhd.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata program yang dilaksanakan bermula November ini, memberi tumpuan kepada murid prasekolah di kawasan luar bandar melibatkan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, inisiatif berkenaan bertujuan memastikan lebih ramai kanak-kanak, khususnya di kawasan luar bandar, mendapat akses kepada minuman berkhasiat bagi menyokong tumbesaran dan pembelajaran mereka.

“Inisiatif ini bertujuan memperluas akses kepada minuman berkhasiat khususnya dalam kalangan murid di kawasan luar bandar di samping membantu memenuhi keperluan nutrisi serta menyokong tumbesaran dan proses pembelajaran mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.