Singapura: Seorang lelaki warga United Kingdom (UK) didakwa menyembunyikan kamera di dalam tandas pesawat Scoot ketika penerbangan dari Osaka, Jepun ke Singapura.

Dia berdepan dua pertuduhan termasuk voyeurisme (jenayah mengintai atau merakam secara seksual) dan menghalang proses keadilan.

Memetik The Straits Times, Hugh Lutley, 52, hadir di mahkamah daerah pada 5 November lalu bagi menghadapi pertuduhan melakukan kesalahan itu ketika berada dalam pesawat berkenaan kira-kira jam 5.10 petang, 7 Oktober lalu.

Menurut polis dalam kenyataan pada 4 November, suspek didakwa mengaktifkan fungsi rakaman kamera tersembunyi itu dari jauh menerusi aplikasi dalam telefon bimbitnya selepas meninggalkan tandas.