TEHERAN: Iran akan menyasarkan semua pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) dan kapal milik Amerika jika Washington melancarkan serangan darat ke atas negara itu, kata seorang komander kanan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
Ali Fadavi yang merupakan ketua kumpulan penasihat kepada panglima IRGC berkata demikian pada lewat Ahad ketika muncul dalam sebuah program televisyen milik kerajaan Iran.
“Jika Amerika melancarkan serangan darat, kami akan menyasarkan setiap lokasi berkaitan AS, pangkalannya dan setiap kapal berkaitan Amerika,” katanya.
Fadavi berkata, AS memahami bahasa kekuatan ketenteraan, dengan mendakwa rakyat Amerika memahami peluru berpandu yang menyerang kapal perang dan peluru berpandu yang menghentam pangkalan mereka.









