Nottingham: Manchester City mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi apabila dua gol Liam Delap membantu Nottingham Forest keluar daripada zon penyingkiran menerusi kemenangan 3-1 di City Ground.

Anak buah Oliver Glasner belum menjaringkan sebarang gol di laman sendiri musim ini, namun mereka menghukum kesilapan benteng City untuk meledak dua gol dalam tempoh 20 minit pertama menerusi Jair Cunha dan Delap.

Jaringan menakjubkan Rayan Cherki memberi harapan kepada City, tetapi cabaran mereka dalam perebutan kejuaraan semakin pudar, malah sebelum mengambil kira kemungkinan kesan pemotongan mata yang besar.

Delap memastikan kemenangan kedua Forest musim ini pada malam yang berpotensi menjadi titik permulaan baharu dalam kariernya bersama juara Eropah dua kali itu, selepas permulaan sukar susulan perpindahan rekod kelab bernilai 50 juta pound (RM272 juta) dari Chelsea.