ISTANBUL: Lebih ramai pelajar Malaysia berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di Turkiye tahun depan apabila MARA merancang untuk menggandakan jumlah pengambilan pelajar tajaannya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah itu sebahagian usaha memperkukuh hubungan akademik antara kedua-dua negara.

"Saya akan memastikan sekurang-kurangnya MARA menghantar dua kali ganda jumlah pelajar ke universiti sama tahun depan," katanya ketika menghadiri majlis makan malam bersama pelajar Malaysia dan kakitangan Kedutaan Malaysia di Turkiye di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Ketua Setiausaha (Hal Ehwal Dua Hala) Kementerian Luar, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin dan Konsul Kehormat Malaysia di Bursa, Turkiye, Datuk Cevdet Sefer.