JAKARTA – Seorang kru tempatan maut, manakala dua warga New Zealand terselamat selepas sebuah helikopter digunakan dalam operasi memadam kebakaran terhempas di Sungai Barito wilayah Kalimantan Selatan, lapor agensi berita ANTARA semalam.

Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) berkata, helikopter jenis H225 Super Puma dengan nombor pendaftaran VH-HGM itu terhempas ketika menjalankan operasi pengeboman air bagi memadamkan kebakaran hutan dan tanah.

Ketua Pejabat Pencarian dan Pertolongan Banjarmasin, I Putu Sudayana berkata, mangsa terkorban ditemukan oleh pasukan penyelamat gabungan pada pukul 6.08 petang (waktu tempatan) berhampiran Kampung Tabatan.

Mangsa dikenal pasti sebagai penduduk tempatan yang bertugas sebagai kru dan juruarah, Yayan Supyansuri.