JAKARTA: Kualiti udara di Kota Pekanbaru, Riau kembali merosot pada pagi Selasa dengan  kepekatan zarah halus atau PM2.5 direkodkan mencecah 298.7 µg/m³ pada pukul 6 pagi waktu Indonesia Barat, sekali gus berada dalam kategori berbahaya.

Berdasarkan pemantauan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), kepekatan PM2.5 di Pekanbaru dari pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi WIB berada dalam julat 212.5 hingga 298.7 µg/m³.

Angka itu menunjukkan kepekatan zarah halus yang tinggi di udara Pekanbaru pada pagi berkenaan.

Keadaan itu merupakan peningkatan ketara berbanding sehari sebelumnya. 

Pada Isnin pukul 8 pagi WIB, kepekatan PM2.5 direkodkan pada 88.5 µg/m³ atau berada dalam kategori tidak sihat.