KOTA BHARU – Polis Kelantan berjaya menumpaskan sindiket pengedaran ganja yang menggunakan perkhidmatan kurier sebagai modus operandi untuk mengedar bekalan dadah ke sekitar Lembah Klang sejak Ogos tahun lalu.Kejayaan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 27 tahun serta rampasan 90.38 kilogram (kg) ganja mampat dan 107.6 gram bunga ganja bernilai keseluruhan RM279,902 dalam satu operasi di Tanah Merah pada Ahad lalu.Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kegiatan sindiket terbabit berjaya dibongkar selepas polis menjalankan risikan selama sebulan sebelum menahan suspek kira-kira jam 3.30 petang di Batu 10, Batang Merbau.Menurut beliau, hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada pemeriksaan sebuah kedai telekomunikasi yang dipercayai dijadikan pusat pengumpulan bungkusan kurier."Sebanyak 13 bungkusan mengandungi dadah ditemukan di lokasi tersebut dan dipercayai sedia untuk dihantar ke 13 alamat berbeza."Penghantaran itu dipercayai menyasarkan pasaran di sekitar Lembah Klang," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.Mohd Yusoff berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak awal Ogos 2025 dan menggunakan rangkaian perkhidmatan kurier bagi mengedar dadah kepada pelanggan.Menurutnya, sindiket itu dipercayai didalangi empat individu, namun tiga lagi suspek dipercayai telah melarikan diri ke negara jiran.Beliau berkata, bekalan dadah tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran melalui pangkalan haram di Sungai Golok berhampiran Lalang Pepuyu, Tanah Merah sebelum diedarkan menggunakan perkhidmatan penghantaran kurier.Dalam operasi sama, polis turut merampas 14 biji pil disyaki yaba seberat 1.4 gram hasil pemeriksaan terhadap sebuah kereta Honda FD yang dinaiki suspek."Jumlah keseluruhan dadah jenis ganja yang dirampas dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 90,502 penagih."Suspek mempunyai lima rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif methamphetamine," katanya.Menurut beliau, suspek direman selama tujuh hari bermula 9 hingga 15 November bagi membantu siasatan.Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.