Tumpat: Selama 11 tahun, seorang pengangkut berusia 31 tahun mencari rezeki dengan membawa ternakan yang dipercayai diseludup dari Thailand ke pelbagai destinasi di seluruh negara dengan memperoleh upah antara RM350 hingga RM450 bagi setiap perjalanan.
Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Khairul itu berkata, dia mula mengangkut lembu, kambing dan pelbagai jenis ternakan lain dari sempadan Kelantan-Thailand ke beberapa destinasi termasuk Selangor dan Johor sejak 2015.
Dengan purata tiga perjalanan seminggu, lelaki dari Chabang Empat, di sini, yang juga bekerja sebagai pemandu lori itu mampu memperoleh pendapatan hingga RM6,000 sebulan hasil kerja berkenaan.
Bagaimanapun, nasibnya tidak menyebelahinya apabila dia ditahan anggota penguat kuasa sempadan ketika dipercayai membawa tujuh ekor rusa untuk dihantar ke Besut, Terengganu hari ini.









