SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kecewa apabila dana umat Islam yang sepatutnya dimanfaatkan untuk kebajikan dan kepentingan agama disalahgunakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab demi mengaut keuntungan peribadi.
Baginda bertitah, terdapat banyak pihak yang membuat kutipan dan menguruskan harta umat Islam termasuk kutipan infak, sumbangan dan fidyah, namun sebahagian besarnya tidak dilantik oleh pihak berkuasa seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan majlis agama Islam negeri-negeri.
Baginda menzahirkan kebimbangan terhadap kewujudan syarikat, institusi perseorangan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengutip dana Islam bagi kepentingan peribadi.









