BESUT – Seorang usahawan muda berjaya mencipta inovasi menghasilkan blok batik daripada kertas terpakai yang lebih ekonomikal berbanding pembuatan konvensional menggunakan material tembaga dan besi.
Ahmad Taqiuddin Muhammad, 31, berkata, blok batik diperbuat daripada kertas terpakai masih mampu menghasilkan terapan corak yang berkualiti di atas lembaran kain biarpun kos pembuatannya lebih tiga kali ganda jauh lebih murah.
“Saya sebelum ini berpengalaman hampir 10 tahun dalam pembuatan blok batik untuk kegunaan pengusaha produk tekstil berkenaan.
“Asalnya blok batik buatan saya juga diperbuat daripada material tembaga atau besi sebelum melaksanakan penyelidikan dan pembangunan menghasilkan blok batik yang mudah dibuat dan lebih murah untuk memenuhi keperluan pengusaha kira-kira lima tahun lalu,” katanya ketika ditemui di bengkel perusahaannya di Kampung Raja, di sini, semalam.








