MASJID TANAH - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berharap momentum peratusan keluar mengundi yang tinggi dalam kalangan pengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 Selasa diterjemahkan pada hari pengundian 14 November ini.Beliau menyifatkan kadar keluar mengundi awal sebanyak 94.96 peratus atau 9,417 daripada 9,917 pengundi layak sebagai pencapaian amat membanggakan.Menurutnya, jumlah itu diharap menjadi petunjuk positif kepada tahap kesedaran dan komitmen rakyat Melaka untuk menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat masing-masing."Saya harap pengundi-pengundi yang akan mengundi pada Sabtu ini keluar beramai-ramai seperti mana yang ditunjukkan oleh pengundi awal semalam."Peratusan itu terlalu tinggi dan amat membanggakan," katanya.Beliau berkata demikian selepas melawat Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) DUN Ayer Limau di Kampung Jeram di sini pada Rabu.Mengulas persiapan menghadapi hari pengundian, Ab Rauf berkata, beliau melihat tahap kesiapsiagaan jentera parti dan rakyat di DUN berkenaan berada pada tahap cukup baik.Katanya, Sabtu ini merupakan hari yang dinanti-nantikan rakyat Melaka untuk membuat pilihan menentukan wakil rakyat yang bakal membawa suara mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN).Dalam perkembangan lain, beliau berkata, peningkatan pelaburan ke Melaka dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri itu.Katanya, setiap pelaburan yang dibawa masuk bukan sekadar melibatkan pembinaan bangunan atau pembangunan fizikal, sebaliknya turut memerlukan tenaga kerja untuk menggerakkan operasi syarikat berkenaan."Pastinya apabila orang datang melabur, mereka bukan sekadar mencurahkan duit untuk membina bangunan, tetapi dalamnya mesti ada orang bekerja."Pelaburan itu mencerminkan peluang pekerjaan dan tenaga kerja yang bakal dibekalkan kerajaan negeri untuk rakyat," katanya.