KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berada pada tahap kesiapsiagaan dengan hampir 102,000 anggota pelbagai jabatan dan agensi serta kira-kira 40,000 aset operasi bakal digerakkan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
Timbalan Ketua Operasi NADMA, Datuk Dr Abdul Gapar Abu Bakar, berkata persediaan itu turut meliputi 8,321 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara yang mampu menampung sehingga 1.9 juta mangsa banjir.
"Aset yang disediakan merangkumi 2,450 bot, manakala lebih 3,000 adalah kenderaan pacuan empat roda dan lori selain pelbagai aset sokongan lain.
"Kita juga menyediakan 170,000 makanan sedia dimakan sebagai bekalan awal kepada mangsa apabila mereka tiba di PPS, selain 60,000 kit makanan yang mengandungi barangan keperluan asas untuk diberikan kepada mangsa apabila mereka pulang ke rumah masing-masing," katanya.









