Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan BuildXpo Malaysia 2026 di MITEC, Kuala Lumpur kelmarin menegaskan kemajuan negara tidak seharusnya diukur melalui kehebatan bangunan semata-mata.

Sebaliknya, pembangunan perlu memberikan manfaat nyata kepada rakyat melalui penyediaan rumah mampu milik, bandar berdaya huni, peluang pekerjaan berkualiti serta penguasaan teknologi oleh negara sendiri.

Acara ini memasuki edisi ke-28 bagi ICW, berlangsung selama tiga hari sehingga hari ini bertemakan 'Beyond Limits' ini menghimpunkan lebih 110 pempamer dari hampir 10 negara dan wilayah.

Penyertaan ini mencerminkan peranan strategik industri pembinaan sebagai salah satu pemacu pertumbuhan ekonomi negara. Jabatan Perangkaan merekodkan nilai kerja pembinaan sebanyak RM178.6 bilion pada 2025, meningkat 12.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.